2011年6月11日星期六

Harta awam mangsa vandalisme

2011/05/26

Tangan nakal rosakkan telefon, pasu bunga, conteng bangunan

KOTA BHARU: Tiada kesedaran sivik. Itulah ungkapan tepat untuk menggambarkan perbuatan 'tangan nakal' yang merosakkan harta awam sehingga menyakitkan mata dan menyusahkan masyarakat.
Perbuatan mereka bukan sekadar menconteng atau menyembur cat di bangunan kerajaan dan persendirian di bandar ini, malah merosakkan pondok telefon dan bunga.
Meskipun Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) memperuntukkan ribuan ringgit untuk mengindahkan bandar ini, namun usaha itu seolah-olah dipandang sepi pihak
tidak bertanggungjawab terbabit.



Tinjauan Berita Harian di Jalan Sultan Ibrahim, Jalan Pintu Pong, Jalan Parit Dalam, Jalan Kebun Sultan dan Jalan Doktor di sini, mendapati kebanyakan telefon awam tidak berfungsi kerana perbuatan vandalisme.

Pelajar Politeknik Kota Bharu, Fatihah Abd Rahim, 20, berkata dia sering melihat kumpulan remaja sengaja menconteng dinding dengan melukis atau menulis sehingga mencacatkan pemandangan.

"Mungkin mereka sengaja mahu menunjukkan 'kreativiti' masing-masing, tetapi dengan cara yang salah sehingga dinding bangunan yang menjadi sasaran menjadi hodoh," katanya.
Tukang emas, Mazlan Latif, 25, berkata beliau kesal dengan perbuatan vandalisme yang berlaku sekitar Jalan Putera Semerak, Jalan Post Office Lama dan Jalan Che Su diconteng pihak tidak bertanggungjawab.

"Saya harap mereka tidak merosakkan kemudahan awam kerana ia merugikan semua pihak terutama MPKB yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan membaik pulih kemudahan awam berkenaan," katanya.

Peniaga telefon, Hussin Deraman, 30, yang pernah melihat sekumpulan remaja menconteng dinding dan kawasan tempat letak kereta berkata, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Setiausaha MPKB, Mohd Anis Hussein ketika dihubungi, berkata pihaknya memperuntukkan antara RM400,000 hingga RM500,000 setahun untuk program mengindahkan bandar.

"Tahun ini saja MPKB menyediakan peruntukan kira-kira RM200,000 untuk menjayakan program mengecat kira-kira 90 bangunan perniagaan yang bermula dari Bulatan Tuan Padang sehingga ke Jalan Temenggong, di sini.

"Selain itu, MPKB turut mengeluarkan peruntukan RM350,000 lagi bagi membina landskap dan kira-kira RM100,000 lagi untuk penyediaan pokok hiasan di sepanjang pembahagi jalan sekitar pentadbiran MPKB seluas 211 kilometer persegi," katanya yang berharap sesiapa yang melihat perbuatan vandalisme segera membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk tindakan undang-undang.


没有评论:

发表评论