2011年6月11日星期六

Berita-Melaka & Negeri Sembilan: Vandalisme punca kerosakan

2010/06/03

SEREMBAN: Perbuatan vandalisme dikenal pasti menjadi punca kerosakan teruk segala kemudahan yang disediakan di Hutan Lipur Jeram Tengkek di Batu Kikir, Jempol hingga menyebabkan kerja membaik pulih dan menaik taraf menelan kos yang tinggi hingga mencecah RM500,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perpaduan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat negeri, Datuk Mohammad Razi Kail, berkata kemudahan kawasan berkenaan yang dibina dua tahun lalu dengan kos RM200,000 mengalami kerosakan akibat vandalisme pihak tidak bertanggungjawab.
“Dalam tempoh baru dua tahun, kita terpaksa menjalankan projek membina semula dan baik pulih menggunakan bahan lebih berkualiti dan kukuh, iaitu ‘wood plastic composite’ dengan kos melebihi dua kali ganda,” katanya yang kesal dengan tindakan pihak terbabit yang disifatkan membazirkan wang rakyat.

Beliau juga menafikan dakwaan penduduk kawasan berkenaan bahawa kerja menaik taraf hutan lipur terbabit terbengkalai sejak lebih enam bulan lalu.

Katanya, kontraktor memulakan kerja penyelenggaraan dan menaik taraf pelantar laluan pejalan kaki itu pada 24 Mei lalu dan projek itu dijangka siap sepenuhnya 26 Jun ini.

Berita Harian sebelum ini melaporkan kekecewaan penduduk serta pengunjung mengenai projek menaik taraf kawasan itu yang kelihatan seperti projek terbengkalai hingga menjejaskan kedatangan orang luar.

Mohammad Razi berkata, penduduk mungkin menyangka kerosakan teruk keseluruhan laluan pelantar pejalan kaki itu yang disebabkan perbuatan vandalisme selama ini sebagai projek menaik taraf kawasan berkenaan.
“Kerosakan dialami bukan sedikit. Kita juga terkejut melihat tahap kerosakan di laluan berkenaan. Ada orang yang meletak kayu di situ menggunakan parang, menendang kayu pemegang hingga patah dan ada lebih ekstrem meruntuhkan sebahagian laluan itu,” katanya.

Beliau berharap, kawasan itu kembali cantik serta selesa dan menasihatkan semua pihak supaya bersama-sama menjaga kawasan itu demi kebaikan bersama.

没有评论:

发表评论